WASHINGTON, 17 Mac – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memutuskan untuk membenarkan warga Afghanistan untuk kekal tinggal di AS sebagai satu bentuk bantuan kemanusiaan, pada Rabu.
Portal berita antarabangsa melaporkan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) mengumumkan pelepasan yang dikenali sebagai Status Perlindungan Sementara (TPS) itu diberi kepada individu yang menghadapi kesukaran untuk pulang akibat konflik bersenjata atau bencana alam.
Seramai lebih 76,000 warga Afghanistan telah ditempatkan semula dan kebanyakan mangsa yang dipindahkan ke AS menerima permit kerja untuk tempoh 2 tahun.
“Mereka berkemungkinan layak menerima pelepasan itu jika status tempoh 2 tahun belum tamat,” katanya yang dilaporkan CNN.
Setiausaha DHS, Alejandro Mayorkas berkata, penetapan TPS ini akan membantu melindungi warga Afghanistan yang berada di AS daripada kembali ke tanah air dalam keadaan tidak selamat.
“TPS akan memberikan perlindungan dan jaminan tambahan kepada warga Afghanistan yang menyokong misi tentera, diplomatik dan kemanusiaan AS di Afghanistan sejak 20 tahun lalu,
“Untuk layak menerima TPS, individu itu mesti telah menetap secara berterusan di AS pada 15 Mac dan penetapan TPS akan dilaksanakan selama 18 bulan,
“Penamaan ini terpakai kepada warga Afghanistan yang sudah berada di AS sebelum pemindahan beramai-ramai ke AS selepas kejatuhan Kabul,” katanya.
Tambah Mayorkas, Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS menganggarkan sekitar 74,500 individu dijangka layak menerima pelepasan itu termasuk mereka yang dipindahkan serta pelajar.
“Hingga kini, Afghanistan di antara 13 negara yang tersenarai dalam pelepasan itu termasuk Ukraine, Sudan Selatan dan Venezuela,” tambahnya. – airtimes.my