SEPANG, 13 Sept – Laporan siasatan awal nahas melibatkan helikopter Eurocopter EC120B di Bidor, Perak yang meragut nyawa juruterbang warga Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan akan diumumkan dalam masa 30 hari, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata, pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah ditutup kerana usaha pencarian dan menyelamat sudah selesai.
Ka Siong berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) telah mengambil alih kes itu pada Isnin manakala siasatan teknikal mengenai pelesenan serta kesahihan operasi helikopter tersebut akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Dalam masa sebulan saya akan dapat laporan awalan seperti hak milik helikopter serta punca kemalangan yang akan diumumkan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan (SSP) di sini pada Selasa.
Pada Ahad, helikopter berkenaan dilaporkan terputus hubungan dengan KLATCC pada 12.16 tengah hari dan dilaporkan hilang di kawasan Bidor, sebelum ditemukan keesokannya.
Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada 11.37 pagi untuk penerbangan peribadi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada 12.37 tengah hari.
Ka Siong berkata, laporan lengkap berhubung kemalangan itu akan diketahui dalam tempoh setahun dan sekiranya wujud kelemahan serta pelanggaran peraturan akan dimaklumkan kepada CAAM untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, BKSU adalah badan penyiasat bebas dan tujuan utama penyiasatan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mengelak berlakunya kemalangan sama pada masa hadapan dan bukannya untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.
“Laporan akhir yang lengkap juga akan dibawa ke perhatian CAAM untuk tindakan lanjut termasuk mengeluarkan arahan untuk memantapkan aspek keselamatan penerbangan awam,” katanya.
Dalam sidang media itu, Ka Siong melahirkan kekecewaannya apabila pihak tertentu mengeruhkan keadaan kerana mempertikaikan kenyataan awal beliau yang menyatakan juruterbang ditemukan selamat.
Jelasnya, beliau menerima maklumat real time (masa sebenar) dari CAAM di KLATCC pada 8.18 pagi menyatakan bangkai helikopter telah ditemukan dan juruterbang masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam selepas itu.
“Kita kena lihat berdasarkan kepada maklumat real time pusat SAR di KLATCC. Apa yang berlaku itu apa dilaporkan terus selepas penemuan.
“Kena lihat kenyataan saya dengan kenyataan polis yang bezanya dua jam. Orang laga-lagakan dengan pertikai apa berlaku 8.20 dan 11 pagi. Masa ditemui mangsa belum meninggal,” katanya.
Kematian juruterbang helikopter itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri. – Bernama