KUALA LUMPUR, 30 Nov – Majlis Raja-Raja menegaskan pelantikan 5 ahli Judicial Appointments Commission (JAC) tidak seharusnya dibuat oleh Perdana Menteri.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, sebaliknya pelantikan itu diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
Jelas Baginda, dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.
Pada masa ini, JAC terdiri daripada 9 keahlian, dimana 4 merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala, 5 lagi ahlinya merupakan individu yang dilantik oleh Perdana Menteri.
Tuanku Muhriz dalam titahnya turut mencadangkan supaya struktur JAC dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi-institusi atau stekeholder lain yang releven.
“Sekiranya semua ini dilaksanakan, Beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan memastikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah di kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” titah Tengku Muhriz lagi.
Terdahulu, Tuanku Muhriz telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang diadakan selama 2 hari di Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 itu.
Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, selain dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir di mesyuarat itu. -airtimes.my