CARACAS – VENEZUELA, 11 Feb – Pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido memberikan amaran kepada tentera bahawa tindakan menyekat kemasukan bantuan adalah jenayah kemanusiaan.
Guaido yang menerima sokongan 50 negara selepas mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden, menegaskan pihak tentera akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kematian dalam kalangan penunjuk perasaan.
Guaido turut menggesa protes besar-besaran diadakan Selasa ini bagi mengenang kematian 42 rakyat sejak konflik bermula 21 Januari lalu.
Sementara itu, bantuan kemanusiaan berupa ubat-ubatan dan makanan yang dihantar Amerika Syarikat (AS) telah terkandas sejak tiga hari lalu di Cucuta, Colombia susulan tindakan pihak tentera menutup sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara.
Presiden Nicolas Maduro menolak bantuan terbabit dengan alasan, ia sekadar taktik AS untuk campur tangan di Venezuela.