TOKYO, 20 Ogos – Operasi V-22 Osprey Pasukan Pertahanan Darat Jepun (Japan Ground Self-Defense Force, JGSDF) digantung sementara waktu berikutan terdapat kebimbangan keselamatan terhadap pesawat tersebut.
Kementerian Pertahanan Jepun dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut diambil selepas pihak Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah mengantung operasi Osprey.
“Penggantungan operasi penerbangan V-22 Osprey di Camp Kisarazu dibuat selepas USAF telah mengarahkan pemeriksaan keselamatan berikutan kegagalan klac dalam kotak gear pesawat,
“Biro Pertahanan Kyushu mengesahkan isu tersebut dan melakukan pemeriksaan rapi terhadap pesawat yang dioperasikan oleh JGSDF,” lapor media Jepun.
Menurutnya, tiada garis masa yang ditetapkan oleh pihak JGSDF untuk mengoperasikan semula V-22.
Markas Pemerintahan Operasi Khas Tentera Udara Amerika Syarikat (AFSOC) telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan operasi penerbangan kesemua 52 buah V-22 Osprey berikutan siri kemalangan yang melibatkan pesawat tersebut.
Sementara itu, Tentera Laut Amerika Syarikat dan Kor Marin Amerika Syarikat masih meneruskan operasi pesawat terbabit walaupun USAF serta JGSDF menggantung operasi V-22 untuk sementara waktu.
Sepanjang tahun 2022, 2 kemalangan melibatkan pesawat V-22 dilaporkan. Insiden yang berlaku secara berasingan tersebut telah mengorbankan seramai 9 anggota marin AS. – airtimes.my