KEMAKMURAN ekonomi, keamanan dan kedaulatan sesebuah negara sentiasa berkait rapat dengan tahap jaminan keselamatan. Melihat senario geopolitik global berubah semenjak Februari lalu, rata-rata negara di peringkat dunia termasuk di kawasan Indo-Pasifik mula memperkuatkan postur pertahanan masing-masing.
Malaysia merupakan sebuah Negara Maritim yang terletak ditengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa. Dalam 59 tahun penubuhannya sebagai sebuah negara persekutuan, tugas mempertahankan kedaulatan Malaysia dipikul oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Disebalik nikmat keamanan yang dikecapi, Malaysia masih lagi terdedah kepada ancaman luar yang pelbagai baik dari segi ancaman tradisional dan bukan tradisional.
Bagi memikul amanah sebagai sebuah pasukan pertahanan dalam mempertahankan kedaulatan negara, ATM merupakan tonggak utama dalam memainkan peranan dalam Strategi Pertahanan Negara seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2019 (KPP).
Cegah Rintang Berpandu merupakan tonggak utama strategi yang digariskan dalam KPP dengan meletakkan tanggungjawab melindungi kepentingan negara khususnya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia di bahu ATM. Tanggungjawab ini meliputi pertahanan domain darat, laut, udara serta siber elektromagnetik.
Sudah tentu pasukan pertahanan yang mencapai usia 89 tahun ini perlu melalui proses pembangunan yang mampan. Ia perlu dipacu dengan peruntukan perbelanjaan yang setara dengan keperluan ATM.
Dalam Wawancara Khas bersempena Hari Ulang Tahun ATM ke-89, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan perbelanjaan pertahanan negara perlu mengalami lonjakan dari 1% kepada 1.5% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau GDP.
“Untuk menentukan kepentingan negara berada dalam keadaan selamat, kita memerlukan tahap bajet kita dalam 1.5% KDNK,
“Maknanya, peruntukan yang diberikan kepada ATM berkisar kepada 1% KDNK sahaja,
“Kita memerlukan satu lonjakan untuk perbelanjaan pertahanan daripada 1% kepada 1.5%,” ujar beliau.
Penjelasan oleh Panglima Angkatan Tentera kemudiannya diulas oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyatakan peruntukan perbelanjaan pertahanan negara 1.5% KDNK dalam Bajet 2023 akan memudahkan perancangan perolehan aset.
Pun begitu, Menteri Kanan Pertahanan mendedahkan terdapat hujah yang menyatakan peruntukan pertahanan yang diminta oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) adalah “besar tetapi pulangan kepada negara tidak seberapa”.
Hujah sebegini bukanlah sesuatu yang baharu dengan melihat senario dalam beberapa tahun sebelum ini sehinggakan timbul persoalan ‘kita nak berperang dengan siapa’. Secara realitinya, pembangunan pertahanan negara tidak dinafikan kian merosot semenjak akhir-akhir ini. Walaupun terdapat perolehan aset baharu yang telah dipenuhi, namun, ATM masih lagi dibelenggu beberapa isu termasuk keuzuran aset.
Malah, Air Times sebelum ini pernah menjangkakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya mempunyai 3 kapal kombatan yang mampu menjaga kedaulatan perairan negara yang luas sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku. Isu yang melibatkan TLDM ini hanya sekadar sebahagian kecil daripada isu yang menghantui postur pertahanan negara.
Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany pernah menyatakan pembangunan pertahanan negara semenjak akhir-akhir ini merosot berbanding dengan serantau dalam satu sesi plenari Persidangan Keselamatan Negara.
Apakah pulangan kepada perbelanjaan pertahanan kepada negara?
Persoalan pulangan atau Return of Investment (ROI) seringkali dibangkitkan jika menyebut tentang belanjawan. Jika dilihat dari kaca mata seorang ekonomi mahupun pelabur, mereka sudah tentu mahu menyuntik dana terhadap bidang yang memberikan pulangan yang menguntungkan mahupun jelas.
Ulasan oleh Menteri Kanan Pertahanan sekaligus menunjukkan persoalan ini turut diajukan terhadap peruntukan pertahanan negara. Tambahan pula, perbelanjaan dalam memastikan kesiagaan ATM berada di tahap tertinggi dan juga memastikan kekuatan angkatan itu seiring dengan peredaran zaman serta ancaman semasa memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Dalam menghadapi pelbagai spektrum ancaman, kesiagaan ATM tidak hanya terletak kepada aset semata-mata.
“Kesiagaan ATM adalah berasaskan lima elemen kesiagaan yang perlu dipastikan sentiasa berada pada tahap yang tinggi iaitu, kesiagaan aset utama, aset bantuan, kesediaan ordnan, logistik dan juga sumber manusia.,
“Bagi menentukan lima elemen kesiagaan yang saya sebutkan tadi, pastinya ia memerlukan peruntukan kewangan yang secukupnya khususnya bagi menyelenggara, mengganti dan menambah aset-aset dalam sistem pertahanan daratan, maritim, udara dan siber,
“ATM amat memahami kondisi kewangan negara yang kurang memberangsangkan ketika ini, namun ATM berharap pihak kerajaan dapat memenuhi keperluan kesiagaan tinggi yang diperlukan,” kata Panglima Angkatan Tentera dalam jawapan bertulis wawancara baru-baru ini.
Menurut Affendi, melalui perbelanjaan tinggi yang diberikan kepada ATM, negara akan memperolehi ROI yang besar dalam bentuk jaminan keselamatan dan keamanan yang disegani dan diyakini di rantau Asia dan dunia.
“Justeru, ini akan mengundang rakan dan kongsi yang akan membolehkan pembangunan ekonomi dan sosial negara yang lebih makmur,” katanya.
Pada hemat penulis, mungkin sudah tiba masanya peruntukan pertahanan dilihat sebagai pelaburan keselamatan negara. – airtimes.my