JAKARTA, 22 Jun – Rantau Asia Tenggara sedang menghadapi peningkatan cabaran keselamatan, termasuk keganasan dan ancaman keselamatan siber seiring persekitaran geopolitik dan geostrategi yang dinamik.
Cabaran yang lain adalah pertikaian wilayah, jenayah rentas negara, dan konflik antara negara di dalam dan sekitar rantau, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Indonesia Donny Ermawan Taufanto dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Indonesia.
“Cabaran ini memerlukan kewaspadaan dan kerjasama berterusan antara negara anggota ASEAN dan rakan kongsinya,” kata beliau semasa mempengerusikan Persidangan Ke 20 Dasar Keselamatan Forum Serantau ASEAN, di sini pada Rabu.
Beliau berkata bahawa rantau itu telah menempuh perjalanan panjang menuju perdamaian dan keamanan melalui langkah signifikan dalam pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial, dan kestabilan politik.
Persidangan itu yang bertemakan “Navigating a Bright Future for Sustainable Peace, Prosperity, and Security” (Mengemudi Masa Depan Cerah, Kemakmuran dan Keselamatan), dihadiri 25 perwakilan dari 27 negara anggota Forum Serantau ASEAN.
Daripada jumlah perwakilan itu, 10 orang mewakili anggota ASEAN, lapan negara rakan dialog dan sembilan negara rakan kongsi.
Perwakilan dari Korea Utara dan Mongolia tidak dapat hadir. Forum tahun ini menumpu pada cabaran keselamatan serantau dan global kontemporari dan masa depan serta kerjasama serantau untuk menyokong ekonomi biru dan pengurangan kesan perubahan iklim.
Langkah-langkah untuk membina kepercayaan bersama demi mengekalkan keamanan, kemakmuran, dan keselamatan di rantau ini turut dibincangkan, menurut kementerian. -airtimes.my