PUTRAJAYA, 23 Julai – Seramai 40 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat pandemik COVID-19 selamat tiba di tanah air pada jam 2.45 petang semalam.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataan berkata, mereka termasuk dua jemaah tabligh yang baru selesai kes perbicaraan di Saharanpur, Uttar dibawa pulang dengan menaiki pesawat Air India Express.
“Kepulangan ini merupakan kepulangan kumpulan kedua jemaah tabligh selepas 62 jemaah tabligh dari India selamat tiba ke tanahair pada 18 Julai lalu,
“Kumpulan kedua itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat Air India Express kira-kira 2.45 petang semalam,
“Semua rakyat Malaysia yang berkenaan diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 setibanya di KLIA dan perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi, untuk pemantauan lanjut,” katanya.
Kamaruddin berkata masih terdapat 87 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang berada di India dan daripada jumlah itu, seramai 25 jemaah tabligh di New Delhi dijangka pulang ke tanah air pada 29 Julai ini.
“Seramai 52 jemaah tabligh pula berada di beberapa wilayah di India seperti Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu serta Maharashtra dan sedang menjalani proses perundangan,
“Manakala, 9 lagi jemaah tabligh masih berada di Kolkata, Bengal Barat dan sedang menanti prosedur perundangan seterusnya, manakala seorang jemaah tabligh di Amravati, Maharashtra tidak dikenakan apa-apa pertuduhan,” tambahnya lagi.
Beliau menegaskan Kementerian Luar menerusi perwakilan-perwakilan Malaysia di India akan terus memantau secara berterusan perkembangan situasi tersebut dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara.
Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India juga akan dipergiatkan lagi dalam usaha untuk memudah cara kepulangan mereka ke tanah air.-airtimes.my