LUMUT, 19 Nov – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan tanggungjawab sosial dengan melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Pangkalan TLDM, kelmarin.
Program ini dilaksanakan bersempena Hari Ulang Tahun Ke-22 KD JEBAT pada 18 November 2021.
Program ini hasil kerjasama antara warga KD Jebat dan pihak PPDK yang telah dirasmikan oleh Pegawai Memerintah KD Jebat, Komander Emmry Shahril Mokhtar TLDM.
“Di sebalik tugas hakiki menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara, warga JEBAT WARRIOR tetap melaksanakan tanggungjawab sosial untuk menabur bakti kepada komuniti setempat,
“Antara objektif utama yang disasarkan dalam program ini adalah untuk mengekalkan kebersihan persekitaran di PPDK dan juga menerapkan nilai murni menjaga kebersihan dalam diri warga KD Jebat,
“Selain itu, dengan pelaksanaan PJM ini juga, ia dapat memberi keselesaan kepada masyarakat terutamanya warga pendidik dan anak-anak warga Navy People yang menggunakan fasilitas PPDK dalam pangkalan ini,” jelas TLDM menerusi hantaran di media sosialnya pada Khamis.
Tambah TLDM, program ini telah berjaya dilaksanakan dengan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat.
“Antara aktiviti lain yang turut dilaksanakan bersempena Hari Ulang Tahun KD JEBAT Ke-22 ialah Virtual Run yang bermula pada 15 hingga 30 November 21 dan aktiviti BAKAT Laut pada 19 November 2021,
“Semoga usaha murni ini terus dikekalkan dan menjadi program tahunan bersama komuniti setempat untuk sama-sama menjaga kebersihan dan mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa,” tambah TLDM. -airtimes.my