MUAR , 25 Mac – Pencarian sembilan lagi mangsa kapal JBB RONG CHANG 8 diteruskan hari ini dengan menumpukan pencarian di paras permukaan.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan, Kepten Maritim Sanifah Bin Yusof berkata “Kerja-kerja menyelam di dalam bahagian kapal diberhentikan hari ini dan usaha pencarian baki krew kapal JBB RONG Chang 8 ditumpukan di permukaan meliputi kawasan seluas 360 batu nautika.
Kerja menyelam diberhentikan selepas selaman ke semua bahagian kapal telah dilakukan dan tidak menjumpai baki mangsa yang masih hilang”.
Setakat hari ini, lima mangsa telah ditemui selamat dan kesemuanya masih lagi mendapatkan rawatan di hospital.
Sepanjang usaha mencari dan menyelamat ini dijalankan, empat mayat telah ditemui. Dua mayat sudah dapat dikenal pasti dan dua lagi sedang menunggu pengesahan daripada ahli keluarga.
Komuniti maritim dan orang awam yang melihat atau menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai sembilan lagi mangsa yang masih belum ditemui diminta untuk segera melaporkan kepada Pasukan SAR yang berada di lokasi Pangkalan Hadapan Operasi atau melaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Pangkalan Batu Pahat di talian hot line 07- 4344020 atau 999.