KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kerajaan tidak ada bantahan terhadap draf pindaan Perlembagaan berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat untuk bertukar parti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sudah membentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri berhubung cadangan pindaan Perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti semalam.
Beliau berkata, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah memberi penjelasan itu berkaitan pindaaan perlembagaan dan Jemaah Menteri tiada bantahan terhadap draf yang dicadangkan.
“Bagaimanapun, Jemaah Menteri membangkitkan 2 perkara agar diperincikan dan diperhalusi semula oleh Jawatankuasa Pilihan Khas,
“Saya menekankan, mengikut Peraturan 85 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, maklumat berhubung Jawatankuasa Pilihan Khas tidak boleh didedahkan kepada umum kerana masih dalam perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Tambahnya, persoalan yang dibangkitkan Jemaah Menteri akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 7 Jun ini untuk diteliti seterusnya memuktamadkan RUU tersebut.
Pada 11 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Jawatankuasa itu dianggotai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta dipengerusikan oleh Wan Junaidi. -airtimes.my