KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan peruntukan RM81 juta untuk menghidupkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan mengundang kemarahan rakyat.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata memang kerajaan memerlukan unit komunikasi untuk menerangkan dan mempertahankan dasar-dasar agar tidak disalah faham atau diputar pelit oleh pihak tertentu.
Namun peruntukan yang tinggi kepada JASA, adalah sukar untuk diterima oleh rakyat pada masa ini.
“Tapi pada zaman krisis (COVID-19) di mana peruntukan lebih diperlukan untuk selamatkan rakyat, kenaikan peruntukan empat kali ganda bagi agensi JASA berbanding zaman BN (Barisan Nasional) adalah sukar untuk diterima dan mengundang kemarahan rakyat,
“Saya boleh terima jikalau peruntukan tersebut dibelanjakan untuk pembelian pelitup muka atau sanitizer kepada rakyat, diberi kepada ibu bapa untuk menggantikan bekalan rancangan makanan tambahan (RMT) bagi murid-murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah telah ditutup sehingga awal tahun hadapan,
“Tapi saya tak dapat terima cadangan jumlah RM81 juta untuk JASA. Suara rakyat suara keramat, perkara yang tak disenangi rakyat jangan diteruskan,” katanya dalam sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini. – airtimes.my