SEBERANG JAYA, 23 Jan – Keluarga Moey Yun Peng yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut, Ahad lepas, memohon pihak berkuasa menyiasat kejadian itu secara menyeluruh bagi memberi keadilan kepada mangsa.
Abang mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis, berkata keluarganya menerima apa yang berlaku terhadap adiknya, Moey, 20, sambil berharap orang ramai tidak menyebarkan spekulasi mengenai kejadian itu agar tidak mengganggu siasatan.
“Kami serahkan kepada polis untuk menyiasat punca kejadian dan memohon diberikan ruang dan masa untuk bertenang,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya untuk menuntut mayat Moey, di sini Selasa malam.
Beliau berkata upacara pengebumian mendiang akan diadakan di Tanah Perkuburan Cina Berapit pada Khamis ini.
Mayat mangsa masih sempurna
Selepas lebih dua hari terjunam ke dalam laut di bawah Jambatan Pulau Pinang, kenderaan SUV Mazda CX-5 akhirnya berjaya dinaikkan kira-kira pukul 5.50 petang semalam.
Mayat mangsa selepas ditemukan masih dalam keadaan sempurna biarpun sudah terperangkap di dalam kenderaan itu hampir tiga hari.
“Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada 6.07 petang semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata mayat Moey masih berada di tempat duduk pemandu semasa kenderaan itu berjaya dikeluarkan dari laut kira-kira pukul 6.00 petang tadi di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang di sini, pada Selasa.
“Kereta remuk teruk akibat kemalangan, namun (keadaan) fizikal mangsa masih sempurna dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
“Pasukan operasi yang terdiri dari 40 orang penyelam dari pelbagai agensi itu berjaya mengikat SUV berkenaan sebelum ditarik untuk mengeluarkan kenderaan yang mengambil masa selama tiga hari. Pelbagai kesukaran terpaksa dihadapi antaranya termasuk faktor cuaca dan arus laut yang deras, jelas Narenasagaran.