SEPANG, 17 Apr – Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar telah menahan 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam Operasi Nyah, di Ladang Sawit Teluk Merbau, Sungai Pelek, awal pagi semalam.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Deputi Superintenden Polis (DSP) Salehin Suleiman berkata, kesemua PATI yang terdiri dari 5 lelaki dan 5 wanita itu ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, kesemua mereka baru masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu menggunakan jalan laut dengan menggunakan bot dari Indonesia.
“Batalion 6 PGA Bakri, Muar, dalam operasi Op Nyah 1 Selangor telah berjaya menahan PATI warganegara asing 5 lelaki dan 5 wanita lingkungan umur 19 hingga 49 tahun,
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan baru masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu menggunakan jalan laut dengan menggunakan bot dari Indonesia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Salehin berkata, tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Pelek untuk tindakan lanjut.
“Kesemua tangkapan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mencegah penularan virus dikalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM),
“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan OKT ditahan reman bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Salehin menyeru kepada masyarakat agar dapat memberikan kerja sama dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dengan menggunakan jalan yang tidak diwartakan.-airtimes.my