KUALA LUMPUR, 21 Mac – Polis Sentul telah berjaya melaksanakan serbuan ke atas 2 premis yang dijadikan hotel bajet serta disyaki menjadi sarang pelacuran di Batu 5, Jalan Ipoh, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Polis Beh Eng Lai berkata, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah melaksanakan serbuan pertama pada jam 4.00 petang dan kemudian pada jam 4.45 petang.
“Seramai 2 wanita warga asing berusia 25 dan 31 tahun ditangkap kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran tersebut,
“Siasatan turut mendapati modus operandi kegiatan itu adalah berselindung di sebalik hotel bajet yang dipercayai telah beroperasi sejak 2 minggu lalu,” kata kenyataan itu pada Sabtu.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut dibuat berjaya merampas kondom pelbagai jenama, kad akses bilik hotel, tisu basah, minyak urut dan minyak pelincir.
“Semakan mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau ke atas suspek dan ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki permit yang sah.
“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terlibat di dalam sebarang aktiviti yang kurang sihat,” tambahnya. – airtimes.my