KUALA LUMPUR, 3 Mei – Program Nadwah Ilmiah (NAIM) memperkasa barisan kepimpinan agensi keselamatan dari sudut pemahaman dan penghayatan Maqasid Syariah, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
“Saya berasa amat berpuashati dengan penerangan konsep Islam yang berlandaskan kepada “Rahmatan Lil Alamin” dalam memperkasakan barisan kepimpinan ATM, awam dan agensi-agensi keselamatan”, ujar Mohamad pada sidang media selepas merasmikan Program Nadwah Ilmiah (NAIM) Rahmatan Lil Alamin Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2019 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, hari ini.
“Program sebegini dapat meningkatkan imej Kementerian Pertahanan dan ATM dalam menyuburkan nilai integriti yang konsisten melalui kekuatan medium Maqasid Syariah”, tambah beliau.
Mohamad berkata program ini juga adalah salah satu langkah tambahan kepada Polisi Antirasuah yang telah disediakan oleh Kementerian Pertahanan dalam usaha serius kementerian ini dalam memerangi jenayah rasuah.
“Program NAIM yang berunsurkan kerohanian ini sangat perlu dilaksanakan supaya setiap warga ATM dan awam dapat memelihara ketahanan diri demi memastikan spiritual combat power warga kementerian sentiasa cemerlang dalam melaksanakan tugas”, ujarnya.
Program tahunan yang bertemakan Penghayatan Konsep Rahmatan Lil Alamin (Mercy To All Creations) ini merupakan anjuran Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Turut diadakan sesi perbincangan berkonsepkan townhall yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Dalam majlis ini juga, Dr Mujahid menyerahkan Profil Maqasid Syariah dan Tadbir Urus Negara kepada Menteri Pertahanan sebagai garis panduan dalam melaksanakan urusan pentadbiran negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mohamad Nordin Ibrahim; Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.