PAGOH, 10 Nov – Impian bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti bukan omong kosong.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mengakui Khairy merupakan tokoh yang bagus untuk menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, Khairy berada dalam parti yang salah.
“Saya fikir mungkin bukan satu cakap kosong. Dia (Khairy) seorang tokoh yang bagus,
“Dia dalam Kabinet saya antara yang saya percayai. Dia menguruskan soal COVID-19 dan sebagainya dengan baik,
“Dia ada masa depan yang baik, cuma dia berada dalam parti yang salah, ” katanya selepas menghadiri program sembang santai bersama masyarakat Kampung Panjang Sari, Sri Menanti dan Sri Makmur pada Rabu.
Terdahulu, Khairy ketika berkempen di Sungai Buloh buat pertama kalinya menyatakan, beliau bersedia memimpin negara dan menjadi Perdana Menteri di masa hadapan.
Namun, Khairy menegaskan cita-citanya itu bukanlah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon Perdana Menteri bagi Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tidak salah untuk Khairy bercita-cita menjadi Perdana Menteri, ini termasuk dirinya atau mana-mana pemimpin yang ingin bercita-cita menerajui negara.
“Bila masanya (untuk jadi Perdana Menteri), mungkin (Khairy) perlu ambil alih UMNO jadi Presiden dan kena dapat kerusi banyak bentuk kerajaan,
“Waktu sekarang boleh cakap sajalah. Dia nak jadi Perdana Menteri, ia tidak salah. Kalau saya pun nak bercita-cita jadi Perdana Menteri, salah ke?,” ujarya. -airtimes.my