PUTRAJAYA, 21 Mac – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menegaskan individu yang membuat laporan palsu semata-mata untuk mendapatkan pengecualian bayaran denda kehilangan MyKad akan dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut beliau, individu yang bertindak demikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 6 bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, sebanyak 1,546 laporan palsu berkaitan kehilangan MyKad telah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2019 hingga 2021.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 372 laporan diterima pada tahun 2019,
“368 laporan pada tahun 2020 dan 806 pada 2021,” katanya.
Ujarnya, KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berhasrat untuk mengurangkan kadar denda gantian kehilangan MyKad tersebut.
“Fi denda kehilangan MyKad yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN1990),
“Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat akan kepentingan menjaga, mengawal penyalahgunaan pemberian pengurangan kadar fi hilang, mengekang peningkatan kadar kehilangan kad pengenalan dan memastikan pelaksanaan urusniaga gantian hilang tersebut berkesan,” ujarnya.
Tambahnya, seperti mana di bawah Sub Peraturan 19 (2) PPN1990, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara boleh menetapkan secara terperinci kadar pengurangan atau pengecualian bagi permohonan gantian MyKad.
“Untuk itu, JPN menetapkan pengecualian bayaran hanya bagi ketegori jenayah dan juga bencana,
“Bagi kategori cuai, akan dikenakan fi denda sebanyak RM100 bagi kecuaian pertama dan kedua RM300, manakala RM1,000 akan dikenakan kepada individu untuk kali ketiga,” tambahnya.
Dalam pada itu, kerajaan juga prihatin terhadap golongan yang tidak berkemampuan dan Orang Kelainan Upaya (OKU), penerima bantuan dan warga emas di mana layak untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan pengurangan bayaran denda.
Hamzah menjawab pertanyaan lisan dari Senator Datuk Mohan Thangarasu yang meminta Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan mengenai data sebenar warganegara yang kehilangan MyKad dan membuat laporan palsu bagi mengelakkan dikenakan penalti tinggi pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas, hari ini. – airtimes.my