JOHOR BAHRU, 28 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan kapal yang berlabuh secara haram di perairan Tompok Utara, Johor menurun secara mendadak.
APMM melalui hantaran media sosialnya berkata, jumlah kapal yang dikesan sebanyak 15 buah kapal berbanding 105 buah kapal dilaporkan sebelum ini berlabuh di perairan tersebut menerusi Operasi Khas Jangkar Haram (Op Jangkar Haram) yang dilaksanakan selama empat hari.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi yang dijalankan hari ini akan meningkatkan usaha membanteras saki baki kapal-kapal yang masih berdegil berlabuh secara haram.
“Maritim Negeri Johor telah berjaya menahan 13 buah kapal yang berlabuh secara haram dan enggan beredar di sekitar perairan Tompok Utara,
“Empat daripada jumlah penahanan tersebut dilakukan oleh kapal peronda Maritim Malaysia iaitu KM TEGAS, KM PERWIRA dan KM SIBUAN, semalam,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kapal-kapal yang ditahan adalah merupakan jenis kapal tangki masing-masing bertanda nama MT NAUTICA KOTA TINGGI, MT ARISTA LEO, MT JW JEWEL dan MT LIBERTY.
Tambahnya, APMM memainkan peranan untuk menguatkuasakan semua undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia meliputi pelbagai akta dan tidak hanya khusus kepada Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 sahaja.
“Kapal-kapal dagang yang ingin berlabuh di dalam perairan Malaysia perlulah membuat permohonan dan mendapat kebenaran daripada Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia,
“Langkah penguatkuasaan adalah merupakan langkah akhir setelah langkah-langkah pencegahan dilakukan dengan lebih teratur seperti memupuk kesedaran dan kepatuhan undang-undang di kalangan pemain industri perkapalan,
“Maritim Negeri Johor sentiasa serius melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor, katanya. – airtimes.my