KUALA LUMPUR, 18 Mei – Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar akan mengadakan lawatan kerja ke Uzbekistan dan Kazakhstan bermula esok sehingga 25 Mei ini.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan kerja itu juga bersempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik Malaysia dengan kedua-dua buah negara itu pada tahun ini.
“Lawatan ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh lagi kerjasama sedia ada yang memberi manfaat kepada Malaysia dan kedua-dua negara rantau Asia Tengah itu,
“Selain itu, lawatan ini juga akan memberi tumpuan dalam penerokaan kerjasama strategi baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, bantuan kerjasama teknikal dan kesihatan,” jelas Wisma Putra.
Menurut Wisma Putra, Kamarudin akan melawat Uzbekistan sehingga 21 Mei dengan dijadualkan membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Luar dan Pelaburan, Laziz Kudratov di Tashkent.
“Di ibu kota negara tersebut, beliau berpeluang menemui Pemangku Menteri Luarnya, Vladimir Norov dan Speaker Dewan Rakyat Oliy Majlis Uzbekistan, Nuriddinjon Ismailov,” menurut kenyataan itu.
Seterusnya, lawatan ke Kazakhstan pada 22 hingga 25 Mei pula, beliau akan bertemu rakan sejawatannya, Aidarov Almas di ibu kota Nur-Sultan yang sebelum itu dikenali Astana.
Selain itu, beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Perdagangan dan Integrasi, Bakhyt Turlykhanuly Sultanov.
Tambah Wisma Putra, lawatan tersebut juga akan memberi peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan secara bersama.
Bagi tempoh dari Januari sehingga Oktober 2021 lalu, Kazakhstan adalah rakan dagang paling besar Malaysia di Asia Tengah dengan rekod nilai perdagangan berjumlah RM359.8 juta. -airtimes.my