KUALA LUMPUR, 19 Sept – Perpisahan selama setahun demi tugas sebagai anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan menjadi perpisahan selamanya buat Lans Koperal Mohd Noh Samsudin dengan isterinya.
Isteri beliau, Norhidayah Amishammudin telah pulang ke Rahmatullah pada 17 Sep 2020, jam lebih kurang 7.01 malam di Hospital Besar Kuala Pilah akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Perjalanan beribu batu dari Lubnan ke Malaysia dan takdir ketentuan Ilahi yang mengatasi segalanya tidak mengizinkan Mohd Noh berada di samping isteri ketika menghembuskan nafas terakhir 4 jam setibanya beliau di KLIA,
“Dalam keadaan dunia bergelut dengan wabak pandemik COVID-19, Mohd Noh juga tidak terkecuali melalui prosedur kuarantin yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata MALBATT 850-7 menerusi facebook rasminya semalam.
Suasana hiba dan pilu apabila Mohd Noh diberi kebenaran untuk menziarah dan memberi penghormatan terakhir buat arwah isterinya dengan berpakaian penuh Personal Protective Equipment (PPE) dengan bantuan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KKM.
“Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Yoh, Johol, Negeri Sembilan pada 18 Sep 2020,” katanya.
Penugasan anggota ATM di Lubnan sebagai pasukan pengaman MALBATT 850-7 yang menyertai misi PBB UNIFIL selama setahun sejak 1 Oktober tahun lalu. – airtimes.my
Galeri gambar: