KUALA LUMPUR, 13 Dis – Lima penulisan Lim Kit Siang mengenai gelombang hijau, Islam politik termasuk Islamophobia menunjukkan wajah sebenar beliau dan DAP yang sedang mengalami paranoia serta menghina pilihan rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Ketua Penerangan PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan, Kit Siang sepatutnya akur dengan pilihan rakyat yang memilih untuk memiliki sebuah kerajaan bersih dan menolak penipuan.
Menurut beliau, lonjakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sebanyak 44 peratus dan undi popular sebanyak 4.6 juta adalah mandat pengundi yang harus dihormati.
“PN telah menjadi harapan utama kaum Melayu dan Bumiputera berbanding BN dan PH untuk masa depan politik Malaysia,
“Bagaimana jika kita tafsirkan sokongan pengundi Cina terhadap DAP pula ialah sokongan kepada pembentukan negara yang menyamaratakan hak kaum dan menentang konsep Bumiputera seperti yang termaktub dalam Deklarasi Setapak?,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, sikap paranoia dan Islamofobia DAP bukan sesuatu yang baharu.
Tegasnya, sejak agenda Penyatuan Ummah dilancarkan 2 tahun lalu, mereka telah membakar provokasi Talibanisme dan ekstremisme terhadap politik Melayu Islam.
“Mereka menanam doktrin dan strategi ‘bogeyman’ dalam kalangan orang Cina terhadap PAS,” ujarnya lagi.
Tambahnya, Lim Kit Siang tidak senang melihat trend peningkatan sokongan rakyat yang signifikan terhadap parti Islam itu, memandangkan ia dianggap akan menggagalkan dominasi politik DAP.
“Peningkatan sokongan terhadap PAS akan menggagalkan dominasi politik DAP untuk memerintah dan ‘memperkudakan’ pemimpin Melayu bagi menjayakan misi mereka,” jelasnya.-airtimes.my