KUALA LUMPUR, 16 Feb – Dianggarkan seramai 339 rakyat Malaysia terperangkap dan menjadi mangsa penipuan pekerjaan termasuk sindiket scammer di luar negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan, daripada jumlah tersebut, seramai 218 telah diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia manakala 121 lagi masih terkandas.
Beliau berkata, sehingga kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci bersama pihak-pihak polis antarabangsa untuk mengesan mangsa terbabit.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kemterian Luar Negeri (Wisma Putra) secara bersama menghubungi dalam prinsip kerajaan dan kerajaan (G2G) dan polis bersama polis (P2P), polis ASEAN dan Polis Antarabangasa (Interpol) termasuk dengan pejabat kedutaan asing,
“Kami telah kesan dimana lokasi rakyat Malaysia dan sahkan bilangan mereka. Kemudian rancang strategi untuk menyelamatkan dan atur bawa pulang serta kongsi langkah penyiasatan serta maklumat,
“Hasilnya kita anggarkan 339 rakyat Malaysia berada sama ada di Laos, Kemboja, Myanmar, Filipina, Thailand termasuk di Dubai,
“Daipada jumlah itu kita telah berjaya menyelamatkan seramai 218 mangsa, manakala 121 lagi kita kategorikan sebagai terkandas. Dan ketika ini, pasukan polis kita berada di Thailand dalam misi menyelamatkan yang sama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, bagi 4 kategori mangsa, beliau mengakui ada antara mereka yang benar-benar tertarik dengan tawaran iklan kerja di luar negara dan apabila pergi ke sana mendapati keadaan tidak seperti yang dibayangkan.
“Kategori kedua pula, mereka sudah tahu daripada awal akan menjadi ‘scammer’ dan apabila mencapai KPI (indeks prestasi utama) ditetapkan sindiket dan kutipan disasarkan melalui ‘scam’ sama ada mata wang kripto dan ‘love scam’ mereka enggan pulang,
“Apabila tidak capai KPI, mereka kata menjadi mangsa (sindiket penipuan pekerjaan) dan hubungi kita untuk diselamatkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai langkah kerajaan terhadap ejen yang menjadi orang tengah di Malaysia dalam penipuan pekerjaan di luar negara dan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) dalam isu berkenaan.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengakui ada juga dalam kalangan yang diselamatkan kalah dalam perjudian di luar negara dan terkandas kerana tidak boleh bayar hutang, yang mana turut dibantu pihak berkuasa.
“Yang kita selamatkan itu, ada yang kalah judi dan tak dapat bayar hutang, itu pun kita bantu bawa balik. Selepas kita berjaya bawa balik, tetapi mereka pergi pula (sekali lagi) dan jadi balik (berulang) sebelum minta kita selamatkan sekali lagi.
“Hancur luluh pasukan polis apabila diberitahu mereka ke sana semula dan hubungi polis untuk minta diselamatkan,” katanya lagi. -airtimes.my