KUALA LUMPUR, 13 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan, keseluruhan rangkaian komunikasi ATM yang terdedah kepada capaian internet di dapati kekal selamat.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan, pihaknya sentiasa memantau sebilang masa aspek keselamatan dan pertahanan siber dalam memastikan segala ancaman yang cuba mengganggu rangkaian komunikasi ATM serta Kementerian Pertahanan dapat ditangani.
Jelasnya, aktiviti penggodam telah dikesan awal dan tindakan pencegahan telah dilaksanakan sewajarnya.
Beliau berkata, modus operandi yang dikesan adalah penggodam melaksanakan e-mel pancingan dengan cubaan serangan secara rawak ke rangkaian e-mel rasmi yang digunakan oleh beberapa agensi di Kementerian Pertahanan dan ATM.
“ATM sentiasa mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa sebagai langkah menangani apa jua kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber dan ICT ATM serta Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Affendi, segala tindakan yang diambil adalah bagi mencegah seterusnya mematahkan modus operandi dan penggunaan teknologi semasa oleh penggodam yang sentiasa menjadi ancaman bukan sahaja di rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah rangkaian komunikasi strategik pertahanan Negara.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat kumpulan penggodam baharu dikenal pasti sebagai Dark Pink, menggunakan e-mel pancingan data dan perisian lanjutan untuk menjejaskan pertahanan tentera di Filipina dan Malaysia, serta organisasi kerajaan di Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina.-airtimes.my