KUALA LUMPUR, 13 Dis – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan menjadi dalang yang menyebabkan ahli-ahli UMNO Sabah beramai-ramai untuk keluar parti pada Rabu.
Malah Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, segala tuduhan melibatkan dirinya selepas Umno tewas dalam PRU14 lalu adalah tidak berasas sama sekali.
“Terlalu banyak tuduhan terhadap saya yang berhubung kait dengan UMNO sejak enam bulan lepas dan kesemuanya telah terbukti tidak benar.
“Berhubung perkembangan semasa di Sabah, saya sekali lagi menegaskan bahawa tidak terlibat dengan sebarang urusan yang membuatkan mereka meninggalkan parti,” katanya di dalam satu hantaran menerusi Facebooknya, semalam.
Bekas Naib Presiden UMNO itu juga turut mengepil bersama link berita sebuah portal yang memetik sumber mendakwa beliau mungkin diperkudakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai instrumen penyebab ahli-ahli UMNO meninggalkan parti.
Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini mendakwa ada golongan ‘bangsawan’ yang menjadi pendorong hampir kesemua pemimpin utama Umno Sabah bertindak keluar parti.
Dakwaan Khairy itu dibuat bagi menjawab soalan pengikutnya di Twitter yang bertanyakan mengapa beliau tidak berusaha menghalang tindakan Ahli Parlimen keluar Umno.
Ahli Parlimen Rembau itu tidak menamakan siapa individu tersebut.
Bagaimanapun, sebuah portal berita yang memetik sumber mengatakan individu yang dimaksudkan oleh Khary itu adalah Hishammuddin.
Semalam, sejumlah 13 wakil rakyat negeri itu dan 21 ketua bahagian UMNO Sabah mengumumkan untuk meninggalkan parti dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.
Antara yang berbuat demikian adalah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak, Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ronakd Kiandee dan Ahli Parlimen Sepitang, Yamani Hafez Musa.