CALIFORNIA, 24 Nov – Syarikat penyedia perkhidmatan Facebook dan Telegram, Meta Inc dalam satu laporan mendakwa tentera Amerika Syarikat telah menggunakan kedua-dua platform media sosial terbabit sebagai saluran propaganda.
“Pihak kami telah memadamkan 39 akaun Facebook, 16 halaman (Pages), 2 kumpulan serta 26 akaun Instagram,
“Kesemua akaun terbabit telah dikesan melanggar polisi Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB),” katanya dalam satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Menurut Meta, rangkaian tersebut adalah dari AS dan memberi fokus kepada beberapa buah negara termasuk Afghanistan, Algeria, Iran, Iraq, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Russia, Somalia, Syria, Tajikistan, Uzbekistan dan Yaman.
“Operasi rangkaian ini mungkin merangkumi perkhidmatan media sosial lain termasuk Twitter, YouTube, Telegram, VKontakte dan Odnoklassniki,
“Ia merangkumi beberapa kluster akaun palsu di platform kami yang ada di antaranya telah dipadam oleh sistem automatik,” ujarnya.
Tambah Meta, siasatan dalaman telah dilakukan dan turut dikongsikan dengan badan penyelidikan bebas.
“Walaupun individu yang terlibat dalam operasi ini cuba menyembunyikan identiti mereka, tetapi siasatan telah mendapati mereka ada kaitan dengan pihak tentera AS,” tambah Meta.
Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB) yang membawa maksud Tingkah Laku Tidak Sahih yang Diselaraskan adalah merujuk rangkaian yang bertindak secara tersusun untuk melancarkan maklumat yang tidak tepat terhadap golongan tertentu.
Ketua Polisi Keselamatan Siber, Nathaniel Gleicher dalam satu siaran video yang dikeluarkan oleh Meta pada tahun 2018 menjelaskan perkara ini adalah lazim untuk berlaku di media sosial termasuk Facebook.
“Ia melibatkan akaun peribadi atau laman yang bertindak secara berkumpulan yang bertujuan untuk mengelirukan pihak lain,
“Rangkaian sebegini akan dilumpuhkan bukan kerana kandungan atau perkongsian tetapi kerana tingkah laku mereka,” ujar beliau dalam video terbitan Meta. – airtimes.my