KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kementerian Pertahanan hari ini mengumumkan tiga bayaran insentif kepada veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipercepatkan bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran insentif itu ialah dana Kutipan Jalanan Kempen Tabung Pahlawan 2019 termasuk Matching Grant, elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Skim Bantuan Kebajikan iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH).
Menurutnya, pada akhir bulan ini, sebanyak 74 Persatuan Veteran ATM akan menerima semula dana Kutipan Jalanan termasuk Matching Grant yang telah dijanjikan.
“Pembayaran semula dana Kutipan Jalanan dan Matching Grant serta insentif bagi Persatuan-Persatuan Veteran ATM yang layak ini melibatkan pengagihan dana Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjumlah RM 5,320,486.46,
“Diingatkan juga kepada Persatuan-Persatuan Veteran ATM agar dana ini hendaklah disalurkan kepada Veteran-Veteran ATM serta tanggungan yang layak dan memerlukan,
“Pemantauan akan dilaksanakan dalam memastikan dana ini diagihkan kepada veteran ATM yang layak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM,” katanya semasa sidang media di Wisma Pertahanan hari ini.
Beliau berkata, pemberian elaun kenangan PJM fasa kedua yang telah dirancangkan pada bulan April 2020 ini telah dipercepatkan pada minggu akhir bulan Mac 2020 kepada 40,000 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM 20 juta.
“Pembayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi fasa pertama telah selesai dilaksanakan pada 12 Mac 2020 melibatkan pembayaran kepada 30,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM15 juta,
“Bagaimanapun demi meringankan bebanan Veteran ATM susulan pengumuman arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19,
“Kementerian Pertahanan telah bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran Fasa Kedua Elaun Kenangan PJM sebanyak RM 500.00 secara one-off (sekali bayaran),” katanya.
Ismail Sabri menegaskan bayaran elaun ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM35 juta kepada penerima PJM seramai 70,000 orang veteran ATM dan telah disalurkan kepada JHEV ATM secara berperingkat.
Manakala Kementerian Pertahanan juga telah bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran Skim Bantuan Kebajikan iaitu BSH sebanyak RM300 mulai 1 April 2020 secara bulanan kepada 4,800 penerima yang layak dan telah memenuhi syarat.
Tambahnya, bantuan yang disalurkan ini merupakan salah satu program bantuan kewangan di bawah JHEV ATM bagi menjaga kebajikan veteran dan tanggungan mereka yang memerlukan supaya dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.
“Diharap keputusan ini akan dapat meringankan beban veteran ATM dalam mengharungi tempoh yang genting ini. Kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran-veteran ATM,” katanya.