KUALA LUMPUR, 15 Nov – Menginjak usia 69 tahun, Rejimen Semboyan Diraja (RSD) terus komited mendokong Aspirasi Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mempertingkatkan keperluan teknologi komunikasi dan informasi agar kekal cemerlang serta releven dalam perkhidmatan.
Ketua Pegawai Semboyan, Brigedier Jeneral Datuk Ahmad Saifuddin Talha berkata, komitmen ini seiring dengan misi, peranan utama RSD iaitu merancang, menyedia, mengendali serta menyelenggara sistem komunikasi TDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menjelaskan, selaras dengan situasi geo-strategik, geo-politik, isu-isu semasa dan keperluan strategik ATM serta TDM khasnya, RSD diperlukan bagi melengkapkan ketumbukan tentera secara holistik untuk mempertahankan kedua-dua wilayah.
“Lantaran itu, RSD dituntut untuk turut maju bersama ke hadapan dengan menilai dan menambah kekuatan yang sedia ada serta mengenal pasti kelemahan serta cabaran yang perlu ditangani dari aspek strategik, operasional termasuk taktikal,
“Rancangan-rancangan perolehan peralatan komunikasi, peperangan elektronik, siber dan ICT hendaklah berpandukan kepada Kertas Putih Pertahanan, Pelan Strategik ATM ‘4D MAF’ serta Pelan Strategik Tentera Darat (Army 4NextG),” katanya dalam perutusan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-69 RSD di Kem Sungai Besi, hari ini.
Ahmad Saifuddin menambah, pihaknya kini sedang giat dalam membuat perancangan perolehan aset-aset terkini melalui peruntukan bajet yang telah diperakui oleh kerajaan dan Kementerian Pertahanan.
“RSD kini sedang rancang perolehan aset-aset melalui Blueprint Komunikasi dan Peperangan Informasi bagi mempersiapkan RSD dengan era ancaman dan peperangan masa kini termasuklah perolehan Command Centre Platform (CCP), Multi Channel Radio System (MCRS) versi 2 dan radio VHF Section Set,
“Pasukan juga akan menerima perolehan peralatan tambahan pada tahun hadapan termasuklah sistem komunikasi MANPACK dan Vehicular serta Sistem Pertahanan Siber,
“Sistem janakuasa dan Alat Uji Komunikasi turut diperlukan bagi memperkasa tahap kesiagaan peralatan komunikasi sedia ada,
“RSD turut merancang turut merancang pelan senggaraan dengan memfokuskan kepada peningkatan tahap boleh guna alat uji komunikasi di setiap peringkat pembaikan bagi memperkasa tahap kesiagaan peralatan komunikasi sedia ada,” tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru kepada semua peringkat warganya untuk terus kekal positif, fokus dan memantapkan kemahiran yang sedia ada agar sentiasa bersedia menghadapi apa jua tugasan serta cabaran yang mendatang.
“Pengorbanan dan komitmen amat diperlukan bagi RSD memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada TDM dan ATM,
“Saya juga berkehendakkan warga RSD mengambil peranan untuk meningkatkan kemahiran di dalam penyediaan komunikasi terkini melalui platform sidang Virtual Conferencing yang sering digunakan pada masa kini,
“Selaku Subject Matter Expert (SME) di dalam bidang perhubungan dan komunikasi sudah tentu perlu memberi bantuan yang berterusan secara efisien tanpa sebarang masalah teknikal yang tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya. -airtimes.my