KUALA LUMPUR, 26 SEPT – Pertembungan kuasa besar dunia di rantau Indo-Pasifik terutamanya di Laut China Selatan dilihat semakin jelas pada mutakhir ini.
Ketika wawancara eksklusif dengan CNN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia serta ASEAN perlu untuk mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China.
Menurut beliau, kedua-dua negara kuasa besar itu masing-masing sama penting kepada Malaysia.
“China merupakan jiran yang penting terutamanya dalam perdagangan dan paling hampir dengan kami,
“Amerika Syarikat pula merupakan rakan lama yang bertanggungjawab dari awal – dalam melabur dan membantu untuk membangunkan negara,” kata Perdana Menteri ketika menjawab soalan wartawan CNN, Christiane Amanpour.
Anwar menambah, Malaysia tetap meneruskan aturan pertahanan yang penting dengan Amerika Syarikat.
“Kerjasama pertahanan yang terbesar masih lagi dengan Amerika Syarikat. (Ini termasuk) pendidikan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau menjelaskan, negara kuasa besar itu perlu “lebih produktif” dalam mendalami tradisi serta hubungan diplomatik, kebudayaan dan ekonomi.
Anwar turut menyatakan pemerhatian beliau bahawa Amerika Syarikat “agak kehilangan fokus” memandangkan isu yang berlaku di beberapa kawasan strategik global.
Menyentuh dengan China, Perdana Menteri menjelaskan beliau berpuas hati dengan hubungan rapat dengan pemimpin negara kuasa besar Asia itu.
Ini terutamanya melihat hubungan beliau dengan rakan sejawatannya, Li Qiang dan Menteri Luar China, Wang Yi.
Menurut beliau, pemimpin China telah memberi jaminan bahawa Beijing tidak akan melakukan apa-apa bagi meningkatkan ketegangan dengan negara rakan serta jiran serantau.
“Saya amat berpuas hati dengan maklum balas Li Qiang yang jelas,” katanya.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut menegaskan China dan Amerika Syarikat perlu mengelakkan provokasi yang tidak perlu di kawasan serantau.
Wawancara tersebut diadakan ketika lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat bagi menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara di UNGA, Anwar Ibrahim menyatakan “dunia dipenuhi dengan pemisahan”.
“Kita melihat persaingan kuasa besar yang membawa kesan negatif terhadap negara lain di wilayah bergolak, khususnya negara kecil,
“Penyudahnya, kita berdepan dengan dilema geopolitik dan geostrategik,
“Walaupun negara kuasa besar terus meyakinkan kita tidak perlu berpihak, hakikat adalah sebaliknya,” katanya semasa menyampaikan ucapan di UNGA pada 22 September lalu. – airtimes.my