KUALA LUMPUR, 16, Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penerbit dan pelakon yang terbabit dalam sebuah video iklan raya yang mempromosikan perjudian secara dalam talian.
Semalam, video berdurasi 2 minit 1 saat tular di media sosial dan mengundang kecaman netizen.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, isi kandungan video berkenaan didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.
Beliau berkata, setakat ini, satu laporan polis sudah dibuat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan siasatan akan lebih menjurus kepada penerbit serta para pelakon yang terlibat dalam video itu.
“Kita akan siasat asal usul video berkenaan dan siasatan juga menjurus kepada penerbit serta pelakon yang terbabit dalam video ini,
“Mereka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Acryl berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dihubungi untuk membantu siasatan.
Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran awam.
Terdahulu, iklan berdurasi 2 minit oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu tular di media sosial.
Pelakon iklan terbabit termasuk dua wanita dilihat memakai pakaian tradisional iaitu berbaju kurung dan berbaju Melayu bagi lelaki menyanyikan lagu bertemakan hari raya sambil mempromosi laman web perjudian. –airtimes.my