KUALA LUMPUR, 14 Mac 2022 – Pengoperasian Intelligence Fusion Centre (IFC) dapat mempertingkatkan keupayaan perisikan dan strategik Tentera Darat Malaysia (TDM).
Majlis perasmian telah disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Wisma Pertahanan, semalam.
TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, pembangunan IFC TD ini adalah berpandukan kepada keupayaan strategik TD Army 4NextG (2021-2050) dan merupakan antara salah satu daripada 5 matlamat keupayaan TDM iaitu pengesanan atau ‘detection’.
“TDM akan dilengkapkan keupayaannya dalam ‘Intelligence Surveillance Reconnaisance and Targeting’ (ISRT) dan ‘Information Operation’ (IO),
“Berdasarkan keupayaan yang sedia ada, segala bentuk ancaman daripada pihak musuh dapat dikesan seawal mungkin dan penyaluran maklumat yang tepat secara ‘real time’ dapat dilaksanakan dengan lebih efisien bagi membantu ketumbukan TDM membuat keputusan dengan tepat pada masa yang diperlukan,” katanya.
Menurutnya lagi, keupayaan pengesanan dan penyaluran maklumat secara berterusan bakal memberikan kelebihan kepada TDM dalam ‘Information Dominance’, ‘Battlespace Awareness’, ‘Decision Advantage’ dan ‘Decision Superiority’.
Tambahnya, penambahbaikan akan terus dilaksanakan sejajar dengan perkembangan semasa teknologi dan juga ancaman persekitaran semasa.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf (AKS) Perisikan, Mejar Jeneral Datuk Hamzah Ali. – airtimes.my