KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang baharu berkuat kuasa 1 Mei 2020.
CIDB dalam satu kenyataan hari ini berkata, Yusuf menggantikan Dato’ Ir Dr. Meor Abdul Aziz Osman.
Sebagai Pengerusi baharu, Yusuf akan bertanggungjawab dalam memastikan hala tuju CIDB menjadi sebuah organisasi yang kredibel sejajar dengan tanggungjawab mengawal selia, membangunkan dan memudah cara industri pembinaan di Malaysia.
“CIDB ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 atau Akta 520,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Yusuf berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Nebraska-Omaha, USA.
“Beliau berpengalaman luas selama 34 tahun dalam bidang kejuruteraan dan pernah menjadi pengarah untuk projek-projek infrastruktur kerajaan dan swasta,
“Beliau kini merupakan Pengarah Jurutera Perunding Wahba Sdn Bhd; ahli badan profesional Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Institut Jurutera Malaysia (IEM) dan Persatuan Penasihat Jurutera Malaysia,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, Yusuf juga menyandang beberapa jawatan penting sebagai Pemegang Amanah di Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rejang; Pengerusi The Paloh Muslim Charitable Trsut Fund dan Panel Penasihat Program Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). – AirTimes