THE HAGUE, 19 Mac – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court, ICC ) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Waran dikeluarkan terhadap ketua negara itu dibuat atas tuduhan terlibat dalam pemindahan kanak-kanak di Ukraine ke Rusia secara haram.
Pihak ICC dalam satu kenyataan menjelaskan Putin bertanggungjawab dalam jenayah perang membabitkan pemindahan populasi kanak-kanak dari wilayah Ukraine yang ditawan ke Rusia.
Waran tangkap turut dikeluarkan terhadap Komisioner Hak Asasi Kanak-Kanak dari Pejabat Presiden Rusia, Maria Alekseyevna Lvova-Belova.
“Waran telah dikeluarkan dan ia bergantung kepada komuniti antarabangsa untuk menguatkuasakannya,
“Pihak ICC telah melakukan tanggungjawab mereka sebagai mahkamah undang-undang. Pihak hakim telah mengeluarkan waran dan pelaksanaannya bergantung kepada kerjasama antarabangsa,” kata presiden ICC, Piotr Hofmanski.
Sementara itu, pihak pendakwa raya, Karim A. A. Khan dalam satu kenyataan berkata, beliau telah menegaskan isu pemindahan tersebut kepada pihak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
“Kami akan memastikan mereka yang terlibat dalam jenayah ini akan dikenakan tindakan dan kanak-kanak yang terjejas akan dikembalikan ke pangkuan keluarga,” katanya.
Menurut beliau, pihak pendakwa raya mempunyai bukti kukuh yang telah dikumpul dan dianalisa melalui siasatan bebas.
“Insiden yang didapati oleh pihak kami adalah melibatkan pemindahan ratusan kanak-kanak yang diambil dari rumah anak yatim dan rumah penjagaan,
“Kebanyakan dari mereka disyaki telah diberikan sebagai anak angkat di Rusia,” katanya.
Beliau mendakwa Moskow telah mengubah undang-undang negara itu bagi mempercepatkan proses pengambilan kanak-kanak Ukraine dan diberikan warga negara Rusia.
Beliau menambah, kanak-kanak yang terjejas di medan perang adalah dilindungi di bawah Konvensyen Geneva Keempat.
Dalam pada itu, Rusia menolak tepi waran tangkap tersebut sebagai “tidak sah” memandangkan negara itu bukan pihak yang menyertai dan ratifikasi ICC. – airtimes.my