TAMPIN, 11 Apr – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berjaya menghasilkan produk inovasi dan penyelidikan dengan membangunkan sebuah rumah prototaip berasaskan ‘Bamboocrete’ bantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Seri Repah, Tampin, Negeri Sembilan.
UPNM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, projek rintis rumah bamboocrete berkenaan merupakan satu usahasama antara UPNM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
“Melalui penganugerahan pelbagai geran penyelidikan yang diperolehi, UPNM telah menghasilkan pelbagai produk penyelidikan dan inovasi selaras dengan hasrat Universiti untuk membangunkan budaya penyelidikan yang inovatif dan kompetitif,
“Menerusi geran yang disalurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), rumah berkenaan telah siap dibina dan diserahkan kepada veteran tentera, Khamis Jobok, 57,” katanya.
Majlis serah kunci rumah projek berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof. Datuk Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain; Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Pengarah, JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Pembinaan rumah setingkat ini yang berkeluasan 81 meter persegi menggunakan sistem bangunan perindustrian (IBS) yang melibatkan kos sebanyak RM85 ribu telah siap sepenuhnya pada 15 Febuari 2021.
“Projek rintis rumah bamboocrete ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk memacu hala tuju penyelidikan dan inovasi UPNM bagi tujuan pembangunan serta pengkomersilan dalam jangka masa panjang,
“Ini secara tidak langsung dapat memangkin usaha penyelidikan dan memberi motivasi kepada para penyelidik untuk menghasilkan produk-produk yang memberi impak kepada komuniti, seiring dengan konsep ‘Quadruple Helix’ iaitu sumbangan akademik kepada kerajaan, industri dan komuniti,” ujarnya. – airtimes.my
Gambar galeri: