KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pengasas Hot Burger, Mohd Asri Hamid, 42 hari ini memohon maaf kepada kesemua anggota polis dan tentera kerana menuduh anggota keselamatan sengaja meringankan ibadah solat.
“Dengan sepenuh hati dan sehina-hinanya saya memohon maaf kepada seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kenyataan saya sebelum ini,
“Saya sendiri tak jangka bahawa akan keluar kenyataan macam itu,” katanya dalam satu video pemohonan maaf selama 50 saat yang disiarkan di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Semalam, beliau yang turut dikenali sebagai Asri Janggut menyatakan bahawa ramai anggota polis dan tentera sengaja tidak menunaikan solat. Malah, beliau mencadangkan agar kedua-dua pasukan tersebut untuk menyerap masuk pelajar tahfiz yang disifatkannya mempunyai asas akhlak yang lebih baik.
Kenyataan yang dibuat semasa siaran langsung PPIM semalam telah mengundang kemarahan anggota polis, tentera dan juga rakyat Malaysia.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan kenyataan Asri amat keterlaluan dan mengguriskan hati anggota keselamatan. – airtimes.my