Ketika umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri, Iran telah mengambil langkah yang amat dinantikan oleh sesetengah pihak. Pada Hari Raya ke-5, Tehran melancarkan serangan terhadap Israel.
Serangan yang dilakukan melalui Operasi Janji yang benar (True Promise) itu menyaksikan penggunaan misil balistik dan juga dron kamikaze.
Walaupun serangan ini bukanlah kali pertama melibatkan dron kamikaze di antara dua buah negara bertelagah, tetapi ia sudah cukup menunjukkan bahawa sistem persenjataan sebegini telah mendapat tempatnya tersendiri dalam lipatan konflik global.
Pada tahun 2020, penggunaan dron kamikaze dapat dilihat dalam Perang Nagarno-Karabakh (Azerbaijan-Armenia). Azerbaijan telah menggunakan beberapa dron kamikaze yang dihasilkan oleh Israel seperti Harop, Orbiter, dan SkyStriker.
Penggunaan dron kamikaze kemudiannya dilihat semasa Perang Ukraine-Rusia 2022 di mana tentera Moskow telah menggunakan siri dron Shahed 136 yang dihasilkan oleh Iran. Serangan pertama secara besar-besaran oleh Rusia telah digelar sebagai Gelombang Oktober (October Waves).
Operasi Janji Yang Benar oleh Iran pula melihat penggunaan 170 buah dron kamikaze Shahed-136 dan 185 Shahed 238. Kedua-dua siri kamikaze dron ini telah dilancarkan oleh Iran dalam 2 gelombang serangan.
Serangan dron kamikaze ini kemudiaanya diikuti oleh penembakan misil kruis dan misil balistik oleh Iran.
Gelombang serangan dron kamikaze ini dilihat untuk mengurangkan keberkesanan sistem pertahanan udara Israel yang terdiri daripada Iron Dome dan David’s Sling. Kedua-dua sistem pertahanan udara ini merupakan tonggak utama pihak Tel Aviv dalam menangkis sebarang ancaman di ruang angkasa mereka.
Iron Dome sudah sedia maklum diketahui umum kerana menjadi penghalang kepada keberkesanan serangan roket atau projektil dari Genting Gaza serta Selatan Lubnan. Ia merupakan sistem pertahanan udara aras rendah yang direka untuk memintas roket dan projektil artileri.
David’s Sling pula sistem pertahanan udara aras sederhana/jauh. Berbeza dengan Iron Dome, David’s Sling pula berperanan untuk memintas pesawat, dron, misil balistik, roket dan misil kruis. Dalam erti kata lain, sistem pertahanan udara ini dilihat setara dengan misil Patriot yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat.
Jadi, serangan oleh Tehran dengan menggunakan Shahed-136 dan Shahed-238 sememangnya bertujuan untuk ‘membanjiri’ atau ‘menyesakkan’ sistem pertahanan udara Israel. Pun begitu, dari segi kepantasan penerbangan, dron kamikaze dilihat agak perlahan dan menjadi sasaran mudah kepada mana-mana sistem pertahanan udara mahupun pesawat lawan.
Perkara ini dapat dilihat bagaimana kumpulan petugas keselamatan perairan Laut Merah berjaya menembak jatuh dron kamikaze yang dilancarkan oleh puak Houthi dengan menggunakan helikopter.
Dalam serangan Iran terhadap Israel pula, gelombang serangan dron kemudiannya dipintas oleh jet-jet pejuang dari Israel, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jordan. Selain itu, Perancis dilaporkan telah menghantar aset maritim mereka bagi memintas dron Iran.
Walaupun tiada dron kamikaze Iran berjaya menembusi ruang udara Israel, beberapa impak serangan misil balistik telah dilaporkan berlaku Pangkalan Udara Nevatim yang menempatkan satu skuadron F-35I. Pun begitu, impak serangan tersebut dilaporkan agak minimum.
Senario pemintasan dron kamikaze Iran menunjukkan impak penggunaan senjata sebegini dalam konflik moden. Bagi Israel, mereka telah berdepan dengan sejumlah serangan sebegini dari arah Yaman mahupun Iraq serta Selatan Lubnan. Bezanya, serangan oleh Tehran adalah berskala besar dan digandingkan dengan sejumlah aset strategik Tehran.
Situasi ini amat berbeza dengan apa yang berlaku di Nagarno-Karabakh dan juga Ukraine. Keupayaan Azerbaijan dilihat agak moden berbanding Armenia, yang tidak mempunyai persenjataan khusus serta bantuan luar untuk menangkis serangan dron kamikaze.
Di Ukraine pula, tentera Kyiv perlu melakukan beberapa pendekatan tersendiri bagi menangkis serangan dron kamikaze Geran-2 (Shahed 136 versi Rusia). Selain menggunakan sistem pertahanan udara, mereka terpaksa menggunakan senjata berat seperti mesingan M2 mahupun DShK bagi menembak jatuh dron yang dilancarkan ke arah mereka.
Pemintasan dron kamikaze dengan melibatkan campur tangan negara NATO sudah tentu mustahil untuk dilakukan di Kyiv. Ini dengan melihat amaran Presiden Rusia, Vladimir Putin yang mengancam campur tangan NATO di Ukraine.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu kita ambil sebagai pengajaran dalam serangan dron kamikaze oleh Iran.
Gelombang serangan yang dilancarkan pada 14 April itu merupakan taktik kerumunan (swarm) yang bertujuan untuk menyesakkan sistem pertahanan udara Israel. Taktik sebegini telah lama digunakan dalam mana-mana pihak yang mahu menekan sistem pertahanan udara musuh.
Sebagai contoh, pesawat A-6E Intruder melancarkan ADM-141 TALD bagi mengaktifkan sistem pertahanan udara Iraq semasa Perang Teluk 1991. Penembakan terhadap TALD telah membuka pintu kepada pihak Berikat untuk mengesan dan membedil radar tentera Saddam Hussein dengan menggunakan misil anti radiasi.
Selain itu, kehadiran TALD dalam jumlah yang besar menyebabkan pasukan pertahanan udara Iraq menjadi sibuk dan beralih tumpuan dari kehadiran jet-jet pejuang tentera bersekutu yang menghampiri ruang udara Baghdad.
Taktik kerumunan sebegini sudah tentu menjadi igauan ngeri mana-mana pihak kerana ia akan mengurangkan keberkesanan sistem pertahanan udara dan radar semasa konflik.
Tambahan pula, dron kamikaze tidak lagi eksklusif kepada sesebuah negara sahaja. Malah, ia telah pun mula digunakan secara meluas oleh pelaku bukan negara (non-state actor) seperti Houthi dan kumpulan bersenjata pro Iran di rantau Timur Tengah.
Selain digunakan di Laut Merah, Houthi sebelum ini pernah melancarkan serangan dron kamikaze terhadap Arab Saudi dan juga UAE.
Penggunaan dron kamikaze oleh pelaku bukan negara perlu diberikan perhatian. Tambahan pula, cara-cara pembuatan dron ini telah pun dibocorkan oleh kumpulan penggodam di alam maya.
Mungkin, pada hari ini, kita melihat Malaysia tidak akan berhadapan dengan situasi yang tidak ingini. Akan tetapi, adalah wajar untuk pihak berwajib melihat senario penggunaan dron kamikaze ini sebagai salah satu ancaman.
Persoalannya, adakah kita bersedia untuk hadapi ancaman seperti ini? – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Diskusi