KUALA LUMPUR, 9 Dis – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammudin Hussein berharap agar kesetiaan ahli akar umbi terhadap perjuangan UMNO tidak sesekali disia-siakan oleh parti itu.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, kelangsungan masa depan parti banyak bergantung kepada ahli akar umbi yang selama ini setia dengan perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.
“Penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti,
“Apatah lagi, ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN,
“Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” jelasnya menerusi hantaran di media sosialnya pada Jumaat.
Tegasnya, perjuangan harus diteruskan tanpa perlu menuding jari terhadap mana-mana pihak.
“Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang,
“Saya tidak mahu menunding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti. Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi.
Tambah Hishammuddin, pihaknya akan mengkaji dan meneliti semula keputusan pilihan raya Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi melihat ‘mood’ serta sentimen rakyat.
Pada Rabu, Perikatan Nasional (PN) menang di Parlimen Padang Serai, selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Sofee Razak dengan majoriti 16,260 undi.
Sementara itu, di DUN Tioman, Mohd Johari Hussain yang mewakili BN memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN, Nor Idayu Hashim dengan majoriti tipis iaitu 573 undi.
Mengulas lanjut, beliau turut berikrar untuk terus berjuang dalam UMNO untuk membantu rakyat.
“Saya tahu Kerajaan baru ini harus menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara,
“Antaranya, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa. Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan,” kata Ahli Parlimen Sembrong itu. -airtimes.my