KUALA LUMPUR, 19 Dis – Sebanyak 215,706 tandatangan petisyen setakat pukul 5 petang semalam telah diperolehi bagi menuntut pelucutan jawatan P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Senator.
Memetik laporan portal Utusan Online, petisyen tersebut dilancarkan pada 17 November lalu oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menerusi tandatangan atas talian Change.Org.
Waytha Moorthy menjadi tumpuan apabila video wawancara beliau dengan televisyen luar negara mendakwa Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia termasuk mendiskriminasi hak kaum India menjadi tular di media sosial.
Dalam wawancara itu, Waytha Moorthy mendakwa kononnya masyarakat India di Malaysia didiskriminasi di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Video wawancara itu didakwa dibuat selepas demonstrasi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) pada November 2007 di mana ratusan penunjuk perasaan ditahan.
Waytha Moorthy juga menjadi tumpuan kerana merupakan menteri bertanggungjawab membawa cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang telah menimbulkan polemik dan mendapat tentangan oleh pelbagai pihak.
Desakan supaya Wayhta Moorthy meletak jawatan semakin tinggi dalam kalangan warganet selepas Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota bomba yang menjadi mangsa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dekat sini meninggal dunia dua hari lepas.
Ramai berpendapat, Waytha Moorthy sebagai menteri bertanggungjawab kepada perpaduan nasional gagal membantu meredakan keadaan rusuhan yang tercetus bulan lalu.