KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan merupakan satu penghinaan terhadap Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tan Sri Noh Omar dalam hantaran media sosialnya mempersoalkan peranan jawatankuasa bebas yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong itu.
“Jika Baginda bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat Kabinet, soalan saya kepada Menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?
“Adakah Menteri merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri mengenai peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021? Saya minta Menteri jelaskan apa sebenarnya peranan kami?
“Mengapa para Menteri Perikatan Nasional suka buat kenyataan yang bercanggah dan ‘flip flop’ yang boleh mengelirukan rakyat? Soalnya di media sosial Facebook, pada Ahad.
Semalam, Takiyuddin berkata, Jemaah Menteri bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat perlu dilanjutkan atau tidak.
Takiyuddin berkata demikian sebagai jawapan balas laporan media kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mengenai tempoh darurat.
“Sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan,” jelas Dr Noor Hisham.
Maka, Takiyuddin menjelaskan, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.
“Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara,” jelasnya.
Kenyataan Takiyuddin mengelirukan
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail turut berkata, kenyataan Takiyuddin itu menyimpang daripada Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan amat mengelirukan serta menimbulkan beberapa persoalan.
Saifuddin berkata, kerajaan memberi pengecualian untuk Jawatankuasa Khas Bebas Darurat menasihati Agong berbanding Kabinet.
Bagaimana pun, sebagai salah seorang ahli jawatankuasa, beliau turut mempersoalkan adakah fungsi jawatankuasa tersebut sudah diambil oleh Jemaah Menteri,
“Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya,
“Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengesa Takiyuddin untuk segera tampil memberikan penjelasan berkaitan persoalan yang ditimbulkan mengenai kenyataannya.
“Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini,” ujarnya.
Awal Januari lalu, kerajaan telah mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas Bebas n bagi menjamin pelaksanaan darurat yang dilaksanakan adil dan telus.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.-airtimes.my