SINGAPURA, 24 FEB – Kemunculan buat pertama kali helikopter penyerang Z-10ME pada pentas antarabangsa diakui menyaksikan ia menjadi tarikan pada Pameran Udara Singapura 2024.
China buat pertama kalinya mempamerkan versi eksport helikopter tempurnya itu yang merupakan ‘Made in China’ sepenuhnya kerana dibangunkan dalam negara.
Jika sebelum ini helikopter Z-10 ditonjolkan secara meluas menerusi media massa negara itu tetapi melihat sendiri pesawat tersebut dengan sistem persenjataannya sangat mengujakan.
Helikopter Z-10 telah pun dioperasikan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) selain sering digunakan dalam latihan.
Pakistan menjadi pengguna pertama helikopter tempur ini yang sepatutnya mula menerima penghantaran Z-10ME pada akhir tahun lalu.
Difahamkan, Z-10ME adalah pengganti helikopter T129 ATAK buatan Turkiye yang tidak dapat diperoleh Islamabad disebabkan sekatan Amerika Syarikat (AS). Ini kerana komponen enjin helikopter T129 ATAK dibekalkan oleh AS.
Walaupun Z-10ME tidak mengambil bahagian dalam pertunjukan udara, namun kehadiran di Singapura umpama memberi saingan kepada pesawat pencabar iaitu AH-64E Apache.
Dua helikopter Apache turut dipamerkan secara statik iaitu milik tentera AS manakala satu lagi AH-64D kepunyaan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).
Hadir di Singapura pasti memberi publisiti besar kepada aset China ini tambahan pameran tersebut dihadiri wakil-wakil tentera dan pemimpin negara serata dunia.
Helikopter tempur ini dilengkapi senjata kaliber 23 milimeter yang dipasang pada hadapan pesawat selain boleh membawa peluru berpandu udara ke udara, udara ke darat dan roket.
Ia boleh dipasang sama ada 16 peluru berpandu antikereta kebal atau pod pelancar roket bergantung pada operasi yang dijalankan.
Z-10ME juga menampilkan apa yang kelihatan seperti penderia amaran peluru berpandu pada bahagian hadapan pesawat dan perisai untuk menahan tembakan senjata kecil.
Disifatkan sebagai pesaing kepada helikopter AH-64 Apache, media China melaporkan bahawa mendakwa Z-10 lebih mudah diselenggara, lebih pantas dan mampu beroperasi lebih lama.
Namun, varian Z-10 yang dilengkapi radar gelombang milimeter pada tiang di atas rotor utama menunjukkan helikopter tersebut -10 direka untuk setanding dengan varian Longbow Apache AH-64 AS.
Teknologi pertahanan China kini bukanlah yang sama sepertimana 20 tahun lalu.
Seperti mana majunya teknologi automotif dan industri digital di republik tersebut, begitulah juga dalam kemajuan penciptaan sistem pertahanan yang dihasilkan mempunyai kualiti setanding negara barat.
Pakistan contohnya cenderung mendapatkan sistem persenjataan dari China disebabkan persaingan dengan India.
Hasilnya, Pakistan dan China membangunkan pesawat tempur JF-17 Thunder. Terbaru Pakistan berjaya memenangi kontrak membekalkan 26 buah pesawat ini kepada Azerbaijan.
Maka tidak hairanlah jika Z-10ME mampu menarik pembeli khususnya dari negara rantau ini pada harga yang lebih mampu milik tetapi berteknologi tinggi. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #Z10ME #China