[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Pd0LFRKA4LU[/embedyt]
LANGKAWI, 25 Mei – Buat pertama kalinya, aset baharu Tentera Darat Malaysia (TDM), helikopter MD530G pamer keupayaannya di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang berlangsung sejak 23 hingga 27 Mei ini.
Helikopter yang dikendalikan oleh 883 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD) itu juga melakukan penembakan dengan menggunakan M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.
Pegawai Operasi Rejimen 883 PUTD, Mejar Syeriff Hafizan berkata, penglibatan MD530G sempena LIMA’23 berperanan sebagai pasukan pelindung dalam membantu pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika menyelamatkan tebusan.
“Penglibatan Rejimen 883 dalam LIMA’ 2023 ini adalah sebagai menyokong aset TUDM dalam membuat Ground Forward Air Controller (GFAC) iaitu sebagai pasukan perlindung kepada pesawat EC725 TUDM yang membuat penyusupan dan seterusnya membuat misi menyelamatkan anggota,
“Sementara itu, MD530G masih meneruskan tugasan sebagai pesawat perlindung dengan memberi tembakan perlindungan,
“Kemudian EC725 membuat penarikan keluar anggota dan akhir sekali MD530G akan membuat pembersihan dikawasan tersebut,” jelasnya kepada Air Times, hari ini.
Syeriff berkata, bagi melaksanakan pertunjukkan kali ini, pasukannya telah menjalani latihan penyesuaian bersama TUDM bermula pada 8 hingga 18 Mei lalu di Pangkalan Udara Butterworth.
Jelasnya, latihan ini dijalankan dengan teliti bagi mendapatkan gambaran sebenar ketika melaksanakan operasi.
Dalam masa yang sama, beliau turut berasa bangga kerana pasukannya terlibat dalam pameran maritim dan aeroangkasa yang terbesar di rantau Asia Pasifik ini.
Beliau turut berharap, dengan kemunculan pertama MD530G di LIMA’23 ini, Rejimen 883 PUTD dapat mempamerkan keupayaan dan kredibiliti pasukan kepada para pengunjung.
“Kami berharap rakyat dapat melihat kemampuan aset terbaharu ini, dimana rakyat jangan bandingkan MD503G dengan pesawat tempur yang lain,” ujarnya.
Helikopter keluaran MD Helicopter Inc ini telah diserahkan secara rasmi oleh Destini kepada TDM pada 13 Jun 2022.
Penyerahan helikopter ini dilaksanakan selepas MD530G selesai menamatkan Ujian Penerimaan Akhir (Final Acceptance Test). -airtimes.my
Galeri gambar: