KUALA LUMPUR, 27 Apr – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dalam perutusannya sempena Hari TLDM berkata, tema sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-86 masih mengekalkan ‘Armada Siaga, TLDM Perkasa’ kerana masih relevan bagi memastikan kesinambungan serta fokus 4 teras hala tuju oleh TLDM mencapai objektif yang disasarkan.
Menurut Mohd Reza, tahun ini merupakan tahun untuk menangani isu kesiagaan Armada TLDM yang terlaksana berlandaskan 4 teras hala tuju ditetapkan.
4 teras hala tuju yang telah ditetap TLDM adalah:
1. Teras Pertama: Memberi keutamaan kepada kesiagaan Armada.
2. Teras Kedua: Membangun semula Armada TLDM berlandaskan perancangan Program Transformasi TLDM 15 ke 5 yang diubah suai.
3. Teras Ketiga: Meningkatkan integrasi dan sokongan aspek kebersamaan atau jointness.
4. Teras Keempat: Menyedia modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan.
Selain itu, Mohd Reza mahu warga TLDM yang berada di kawasan operasi, agar terus cekal dan tabah dalam melunaskan tanggungjawab terhadap negara.
“Anda semua sentiasa membanggakan saya. Anda semua telah membanggakan isteri, suami, ibu dan bapa serta keluarga tersayang yang berada di rumah mahupun di kampung halaman. Dan yang paling baik, perkhidmatan dan pengorbanan anda semua, tidak kira di mana jua anda bertugas,” ujarnya.
Bersempena Hari Ulang Tahun TLDM kali ini, beliau menyeru seluruh warga the Navy People untuk memastikan langkah berikut dilaksanakan sebaiknya:
1. Pertama: Sentiasa siap sedia untuk menghadapi cabaran dan halangan terutamanya menghadapi kekurangan sumber dalam memastikan TLDM sentiasa berada di haluan sebenar selari dengan situasi dan keadaan semasa. Kita harus membuat persediaan rapi bagi menghadapi arus perubahan kehidupan dunia termasuklah kesediaaan untuk melaksanakan tugas di dalam keadaan Kebiasaan Baharu atau The New Normal.
2. Yang kedua: Penghayatan yang lebih mendalam terhadap empat nilai teras TLDM iaitu KEMULIAAN, KESETIAAN, KEBERANIAN dan KEBANGGAAN. Tanamkan nilai teras ini sebaiknya dalam hati dan sanubari agar setiap tindakan dan tanggungjawab kita sebagai warga Tentera Laut Diraja Malaysia
memenuhi kehendak organisasi demi negara tercinta ini.
3. Yang Ketiga: Membudayakan amalan tegur menegur dan ingat mengingati antara satu sama lain. Menasihati dan menegur adalah perbuatan yang sangat baik dan dianjurkan dalam Islam, sememangnya kita sebagai manusia perlu mendapat teguran supaya kita menyedari kesilapan, kesalahan dan kelemahan diri sendiri. Niat kita menegur seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk.
4. Yang Keempat: Kekal fokus, tenang dan teruskan berdoa dalam perjuangan kita untuk memutuskan rantaian COVID-19 dan seterusnya terus cekal dan tabah dalam melaksanakan tugas yang digalas demi mempertahankan kedaulatan negara agar sentiasa terpelihara. – AirTimes