LUMUT, 1 Jan – Seramai 91,574 orang pengunjung telah membanjiri Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada Hari Terbuka Armada Barat 2022 yang melabuhkan tirainya semalam.
Prorgam yang diadakan bersempena dengan Hari Ulang Tahun TLDM pada 27 April setiap tahun itu disambut dengan meriah setelah tidak dilaksanakan selama 3 tahun berturut-turut berikutan penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.
HTA 2022 telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany pada Khamis lalu.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemirintahan Armada (MPA) Barat menjelaskan, hari terbuka dengan bertemakan TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara – Kedaulatan Tanggungjawab Bersama, menjadi instrumen mengeratkan hubungan TLDM dengan masyarakat setempat.
Tambahnya, ia juga dapat mempromosikan peranan agensi maritim negara serta TLDM dan Armada Barat khususnya dalam melindungi kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara.
Sepanjang hari terbuka tersebut, MPA barat memaklumkan, pengunjung turut berpeluang untuk melawat kapal-kapal perang TLDM serta menyaksikan pelbagai demonstrasi melibatkan aset TLDM termasuklah demonstrasi bersama agensi-agensi sahabat iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Ketiga-tiga agensi tersebut turut terlibat dengan pameran statik bersama-sama agensi keselamatan yang lain seperti Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan BOMBA, Kastam dan Imigresen,
“Turut menjayakan acara ini adalah pameran daripada agensi kerajaan yang lain seperti Agensi Anti Dadah Kerajaan (AADK), Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Air Perak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Perak dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM),” jelas MPA Barat dalam kenyataan pada Ahad.
MPA Barat menjelaskan, pameran turut melibatkan institusi kewangan seperti Bank Rakyat, Bank Islam, Affin Bank, CIMB dan Bank Muamalat serta badan-badan korporat.
“Antara badan-badan korporat yang terlibat adalah seperti PERNAMA, Koperasi Tentera, Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak (PAKKP), institusi pendidikan seperti UniKL (MIMET) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) termasuk syarikat-syarikat swasta dari sektor hartanah, telekomunikasi serta automobil,” tambah kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, HTA 2022 juga mencatatkan sejarahnya apabila Upacara Penganugerahan Lencana Sayap Penerbangan Kehormat dan Beret Kehormat Pasukan Khas Laut (PASKAL) kepada Panglima Tentera Laut, turut dilaksanakan dan ditayangkan secara langsung kepada pengunjung.
Penganugerahan ini sempena mengenang jasa Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang telah memperkasakan Cawangan Udara TLDM dan juga PASKAL sepanjang pemerintahan beliau.-airtimes.my