KUALA LUMPUR, 31 Jul – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seri Paduka berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM atas jasa, khidmat dan bakti yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan dan menjaga keselamatan tanah air tercinta.
Istana Negara dalam satu hantaran hari ini memaklumkan, selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Yang di-Pertuan Agong menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.
“Sesungguhnya jerih perih mereka, para pejuang tanah air pada masa dahulu dan sekarang adalah demi negara kita yang berdaulat,” menurut hantaran itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga roh mereka yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” tambah hantaran itu.
Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960.
Hari Pahlawan ini dijadikan sambutan peringkat Kebangsaan yang membolehkan rakyat Malaysia mengenang dan menghargai serta memberi penghormatan kepada semua pahlawan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.-airtimes.my