KUALA LUMPUR, 12 Sept – Bekas Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat Singapura sebaik diumumkan sebagai presiden negara itu selepas menang tanpa bertanding.
“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat pada rakyat Singapura, ada pilihan raya atau tidak komitmen terhadap rakyat kekal sama,” katanya seperti dilapor The Straits Times.
Beliau dijangka mengangkat sumpah Khamis ini dan akan berkhidmat sebagai Presiden selama sepenggal (enam tahun).
Halimah akan menjadi presiden Melayu pertama Singapura sejak lebih 47 tahun selepas menjadi satu-satunya calon yang mendapat sijil kelayakan bertanding yang dikeluarkan Jawatan Kuasa Pemilihan Presiden.
Manakala permohonan dua lagi calon, Farid Khan, 62 tahun, dan Salleh Marican, 67, ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan iaitu mengetuai syarikat dengan ekuiti pemegang saham berjumlah RM1.56 bilion untuk tempoh tiga tahun terakhir.
Pilihan Raya Presiden kali ini menyaksikan ia dikhaskan kepada komuniti Melayu berikutan perubahan skim pengundian presiden yang diluluskan parlimen pada November lepas.
Perubahan itu membolehkan pilihan raya dikhaskan kepada komuniti tertentu yang mana tiada wakil yang diundi sejak lima penggal lalu.