KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), Datuk Muez Abd Aziz hari ini menggariskan beberapa fokus hala tuju 2020 bagi Kementerian Pertahanan Malaysia.
Beliau dalam amanat pertamanya menyentuh beberapa perkara yang diantaranya ialah Kertas Putih Pertahanan (KPP), isu-isu keselamatan serta etika dan integriti.
Pada 6 Januari 2020, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyampaikan amanat dan telah menggariskan beberapa fokus sebagai hala tuju tahun 2020 bagi Kementerian Pertahanan.
Di antaranya termasuk isu-isu keselamatan, KPP, hubungan pertahanan antarabangsa dan pembangunan keupayaan ATM serta kebajikan kakitangan awam, anggota dan veteran ATM.
Kertas Putih Pertahanan (KPP)
Kementerian Pertahanan akan mengadakan sesi penerangan ke seluruh negara secara berperingkat bermula tahun ini supaya kandungan dan intipati KPP dapat diselami dan difahami di semua peringkat masyarakat, pentadbiran negeri dan sektor swasta agar mendapat sokongan agar dalam memastikan pelaksanaannya bergerak dengan lancar bagi tempoh 10 tahun akan datang.
“KPP merupakan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030, bagi melindungi kepentingan negara dalam mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah,
“Selain menjadi panduan dan rujukan dalam sebarang perkara melibatkan pertahanan negara, ia termasuk memperbanyakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), sains dan teknologi agar negara dapat menghasilkan produk tertentu, hasil inovasi rakyat tempatan,
“KPP juga menjadi panduan bagi penyediaan Pelan Strategik Mindef bagi tahun 2020 hingga 2025 bagi menyelaras tindakan kementerian agar selaras dengan KPP,” kata Muez dalam Majlis Amanat Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.
Hubungan Pertahanan Antarabangsa
Menurut beliau, hubungan pertahanan antarabangsa pada tahun ini akan terus dipertingkatkan terutamanya dengan negara-negara kuasa besar dan kuasa serantau seperti Amerika Syarikat, Rusia, Jepun dan China bagi menjamin keselamatan serta kestabilan negara.
Selain itu, Kementerian Pertahanan akan terus komited dengan kerjasama pertahanan sedia ada seperti Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) selain meneroka kerjasama pertahanan dengan negara-negara baru serta negara-negara Islam seperti Turki, Pakistan dan Qatar. Pada masa yang sama Malaysia juga kekal komited dengan menyertai Misi Pengaman di bawah PBB.
Pembangunan Keupayaan ATM
Muez dalam ucapannya juga berharap supaya Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2020 (DSA 2020) dapat menjadi platform penting terutama oleh pemain industri pertahanan tempatan untuk memasarkan produk masing-masing ke peringkat antarabangsa.
“Sehubungan itu, faktor R&D seperti yang ditekankan dalam KPP amat penting supaya dapat membantu pemain industri pertahanan negara terutama dalam kebolehpasaran produk yang dihasilkan supaya lebih bersifat global dan tidak khusus untuk kegunaan tempatan,” ujarnya.
Isu-Isu Keselamatan
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan juga akan terus meningkatkan kerjasama dengan Indonesia dan Filipina menerusi Rondaan Maritim Tiga Negara (TMP) yang dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Selain itu akan terus komited bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan khususnya di perairan laut Sabah terjamin,
“Perolehan aset-aset ketenteraan terbaru yang telah dan bakal diterima seperti Kapal Misi Pesisir (LMS) juga akan memantapkan lagi pertahanan maritim negara,” katanya.
Kebajikan Kakitangan Kementerian Pertahanan, Anggota dan Veteran ATM
Kementerian Pertahanan akan sentiasa memastikan kebajikan warga awam, anggota tentera dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terjaga dan terbela. Pelbagai usaha telah dan akan dipergiatkan lagi bagi menambahbaik rumah keluarga termasuk bantuan teknikal, menambahbaik fasiliti, infrastruktur dan penyelenggaraan.
“Pelestarian kesejahteraan warga & veteran ATM merupakan salah satu perkara yang ditekankan. Dalam retreat Pelan Strategik yang bakal diadakan pada hujung bulan ini, saya berharap semua yang terlibat dapat menyumbang idea bagi menambahbaik aspek kebajikan warga Kementerian Pertahanan,” katanya.
Bajet Tahun 2020
Manakala mengenai bajet yang diluluskan telah mula diagihkan kepada kementerian. Adalah wajar perancangan perolehan segera dibuat kerana kelewatan perancangan akan mengakibatkan peruntukan tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa.
“Saya mohon kerjasama daripada semua bahagian yang terlibat untuk mengambil tindakan secara pro-aktif di dalam melaksanakan projek-projek yang telah diluluskan,
“Bermula di peringkat awal persediaan seperti penyediaan spesifikasi teknikal, proses tender dan sebagainya perlu disegerakan. Jangan ambil sikap last-minute atau menunggu arahan daripada peringkat atasan baru nak bergerak. Kerja kena patuhi deadline yang ditetapkan dan sesekali jangan mengambil sikap bertangguh,” ujar Muez dalam ucapannya.
Etika dan Integeriti
Mengenai perkara ini, Muez berkata tidak akan berkrompomi dalam perkara yang melibatkan integriti dan akan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya kepada semua penjawat awam yang terlibat.
“Kebelakangan ini banyak diperkatakan mengenai isu yang melibatkan integriti terutamanya di kalangan penjawat awam seperti isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan, salah laku dan tatatertib.
“Walaupun dilakukan oleh segelintir individu penjawat awam, namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam yang lain, termasuk kita semua seperti bak kata pepatah “kerana nila setitik, rosaklah susu sebelanga”, kata Muez.
Majlis ini telah dihadiri 500 orang warga awam yang terdiri daripada kakitangan dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan.
Beliau turut menginspirasikan tagline “together we do better” dalam aspek untuk mencapai sasaran kerja yang telah ditetapkan dan bukannya “working in silos“.
“Saya menyeru warga Kementerian Pertahanan untuk bersatu dan berkerjasama di semua lapisan peringkat tidak hanya di peringkat atasan, tetapi terus ke sektor, bahagian dan unit tanpa mengikut kemahuan dan kepentingan diri sendiri,
“Komitmen, kerjasama, dan penerimaan daripada seluruh warga Kementerian Pertahanan amat penting dalam merealisasikan perkara yang saya sebutkan tadi. Dalam perkara ini, saya ingin menekankan “we are as one football team, semua adalah penting,” ujarnya.
Terdahulu, Muez telah menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) di Dataran Wisma Pertahanan yang diketuai oleh Mej Zaidi Seman bersama tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad dan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.