KOTA KINABALU, 18 Sept – Kementerian Pertahanan (MINDEF) bercadang untuk menyediakan elaun bulanan bagi penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai jasa mereka dalam mempertahankan negara sewaktu darurat dahulu, kata menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata cadangan elaun bulanan sebanyak RM300 atau RM350 itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Sebelum ini mereka pernah mendapat bayaran sekali bayar sebanyak RM500. Jadi, kita berniat dan bercadang untuk memberi sumbangan tetap kepada penerima PJM. Ini sebagai mengenang jasa mereka yang sangat besar dalam menentang komunis sewaktu darurat dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penganugerahan PJM Peringkat Sabah kepada 350 penerima, hari ini.
Ditanya sama ada cadangan ini dilihat sebagai gula-gula untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ismail Sabri berkata ia tiada kena mengena dan adalah satu kebetulan.
“Ini kali kedua penganugerahan PJM selepas di Johor bulan lepas. Majlis hari ini memang sudah dijadualkan terlebih dahulu. Kalau tiada PRN pun kita tetap akan buat majlis ini,” katanya.- Bernama