KUALA LUMPUR, 16 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) untuk berkhidmat sebagai pegawai dalam perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tahun 2022.
ATM dalam hantaran di media sosialnya berkata, calon yang berjaya dan terpilih akan dilantik sebagai Pegawai Kadet Lepasan Ijazah (Graduan).
“Calon yang terpilih akan menjalani latihan Pegawai Kadet di Akademi Tentera Darat (ATD), Port Dickson, Negeri Sembilan, Kapal Diraja Sultan Idris 1 (KDSI 1), Lumut, Perak dan Sekolah Latihan Pegawai – Akademi Tentera Udara (SLP-ATU), Alor Setar, Kedah,” katanya.
Menurut ATM, syarat pelantikan dan pentaulihan adalah seperti di dalam iklan yang disertakan.
Katanya, permohonan adalah secara dalam talian melalui pautan Pengambilan Pegawai Kadet Lepasan Ijazah (Graduan) bagi tahun 2022 iaitu https://jmt.mod.gov.my/index.php
Manakala tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April 2022. – airtimes.my