[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=BDs2Aomzm-s[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 22 Dis – Kementerian Pertahanan telah mewujudkan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) bagi membantu anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memiliki rumah sendiri.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, sebanyak 3,500 unit rumah di bawah program ini akan dibina di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan daripada sejumlah itu, sebanyak 900 unit akan diperuntukkan kepada warga veteran ATM.
Beliau berkata, program ini akan meningkatkan lagi kelangsungan kebajikan anggota dan veteran ATM bagi menjamin kesejahteraan mereka bersama keluarga kelak.
Tambahnya, program ini juga memberi galakan kepada anggota dan veteran ATM untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang rendah berbanding harga pasaran semasa.
“SASaR membantu anggota dan veteran ATM untuk memiliki rumah sendiri di lokasi pilihan,
“Program ini turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak swasta,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan negara, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, Kementerian Pertahanan telah mengadakan kolaborasi strategik dengan kementerian dan agensi swasta lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta PR1MA bagi mengenal pasti mekanisma yang bersesuaian termasuk mendapatkan laluan khas kepada permohonan sedia ada.
“Beberapa projek perumahan juga telah dikenal pasti di semua negeri dan kini dalam proses perbincangan harga serta jenis rumah yang boleh ditawarkan kepada veteran ATM,” tambahnya.
Program SASaR merupakan salah satu fokus yang terdapat dibawah Blueprint Perumahan Kementerian Pertahanan yang dilancarkan pada 3 April 2018.
Sebanyak 3,500 unit rumah bertingkat di bawah program ini dibina di kawasan seluas 23 ekar di Kem Transmitter, Sungai Besi yang diberi nama Residensi Satria Sungai Besi. – airtimes.my