KUALA LUMPUR, 1 Jun – Tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang gila kuasa, korup dan salah guna kuasa adalah satu perkara yang sangat membimbangkan serta ia perlu diperbaiki semula.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua ahli dan pimpinan parti komponen perlu memperkenalkan semula jenama BN dengan tawaran termasuk penampilan baharu.
Jelasnya, BN bukan sahaja mengecil dari jumlah ahli Parlimen, tetapi juga dari sudut jumlah parti komponen, bilangan negeri yang dikuasai, serta sokongan undi popular.
“Ini bukan agak-agak kita, bukan ramalan atau tekaan, sebaliknya ini adalah realiti, yang kesemuanya boleh disandarkan secara jelas kepada fakta dan data,
“Jadi sangat penting untuk BN berpijak di bumi nyata, terima realiti bahawa kemenangan (dalam pilihan raya umum akan datang) tak akan datang bergolek, mesti usaha, dengan gigih dan gerak kerja strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan”, bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang lebih sinonim dengan panggilan Tok Mat menggesa agar partinya tidak tenggelam dalam nostalgia silam selaku sebahagian parti memerintah.
“Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa, BN akan memerintah semula, hanya kerana kita sekarang menjadi sebahagian dari kerajaan,
“Apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihanraya kecil dan PRN Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang, dan menguasai Kerajaan dengan mudah,
“Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa, anggapan seperti itu bukan sahaja salah. Malah, berbahaya dan berisiko kepada BN,” ujarnya lagi.
Tok Mat menjelaskan, BN mesti menghentikan segala usaha dalam menyajikan rakyat dengan perspektif bersandarkan persepsi mengenai tanggapan negatif terhadap gabungan itu.
“BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif,
“Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status-quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi,” tegasnya lagi.
Justeru, beliau berkata BN mesti mengubah persepsi yang toksik ini,” jelasnya. -airtimes.my